Thursday, February 17, 2011

Pilihan raya kampus

Salam hari ni telah terjadi satu2nya perkara yg x pernah lg berlaku ketika pilihan raya kampus unisza, X DISANGKA2 baru je hari penamaan calon berlangsung sudah ada bantahan mengenai calon yg mewakili FKI. Hanya kerana alasan beliau menggunakan liquid paper semasa memadam kesalahan sewaktu mengisi borang dan itupun FITNAH kerana beliau tidak menggunakan liquid tetapi pemadam pen.

X faham betul. mengapa tiada consideration betul sedangkan mereka seharusnya tahu kerana wujudnya fakulti kontemporari islam unisza dipandang tinggi kenapa? kerana membawa nama kusza yg mana satu ketika dulu sgt masyhur di pelosok dunia hatta negara arab juga memandang tinggi kepada Kusza dan juga kerana ketinggian ilmu agama ini telah menarik perhatian dan dicemburui oleh universiti2 terkemuka.

Mcm2 hal telah terjadi semenjak menukar nama kepada UNisZA, dan byk hal telah berlaku yg menyebabkan ketidakadilan dlm sistem perundangan hanya kerana ingin menegakkan cara hidup islam yg syumul. seperti sabda Baginda SAW umat islam pada akhir zaman ibarat buih2 di lautan. Sangat kecewa bila tahu dalang di sebalik bantahan ini adalah pelajar fki sendiri ibarat memakan daging diri sendiri.

Bilakah lagi kita semua satu hati? Bilakah lagi keamanan kan dikecapi? Bilakah lagi islam kn dijulang tinggi bangunlah wahai umat kita satu hati..... lagu ini mengingatkn kembali akan kejahilan manusia yg memporak perandakan dunia dan kedegilan manusia utk mengikuti syariat yg telah ditetapkan oleh Allah.

Adakah cara hidup islam mengongkong manusia? tidak, kenapa? kerana dengan cara hidup yg telah ditetapkn oleh Allah ini adalah yg terbaik buat kita...mustahil bagi seorag ayah ingin menyusahkan hidup anaknya, mustahil bagi ibu ingin memusnahkan hidup anaknya dan juga mustahil bg Pencipta ingin menyusahkan ciptaannya kerana beliau tahu apa yg ciptaanya mampu lakukan atau tidak.. mcm citer Jimmy Neutron dia tahu apa kelebihan dan kelemahan barng ciptaanya dan dia tahu tahap kemampuan brg ciptaan dia tp knp tidak kita??kenapa kita nk lari dari landasan yg telah ditetapkan??ini menunjukkan kita ni degil dan rasa diri kita lg hebat dri Pencipta kita.......bodoh sombong itu adalah istilah yg tepat utk gmbrkan sikap kita sebenarnya. Tunjukkan bukti kalu pernyataan ini salah...Wallahu A'lam

Saturday, February 12, 2011

Siapa Khawarij yang sebenarnya?


Khawarij adalah merupakan kata jamak daripada perkataan Kharij yang membawa maksud orang yang keluar. Perkataan ini merujuk kepada orang yang keluar daripada barisan khalifah Ali bin Abi Talib r.a setelah Ali menerima tahkim. ( Ab. Latif Muda , 1998: 176 ). Walaupun begitu, puak khawarij ini tidak menggelarkan atau menamakan kumpulan mereka ini sendiri sebagai khawarij.

Sebahagian ahli sejarah ada menyebut bahawa barangsiapa menderhakai imam yang dilantik oleh jamaah ia akan dinamakan khariji sama ada berlaku di zaman sahabat di bawah pimpinan imam-imam al-Rashidin atau sesudah mereka di zaman tabiin atau imam-imam di setiap zaman. ( al- Dhabab, Muhammad Husin, 1993M/1414H: 228). Takrif ini membawa pengenalan nama khawarij yang berpunca daripada penentang-penentang mereka. Nama Khawarij masih kekal sehingga ke hari ini.

Pada asalnya, mereka menamakan kumpulan mereka ini sebagai al-harauriah. Oleh kerana mereka menentang. Mereka juga menamakan kumpulan ini sebagai al-Syurah bermaksud orang yang menjual nyawa kerana mahukan keredhaan Allah sedangkan mereka termasuk dalam ajaran sesat. ( Abdul Hadi Awang, 2008: 61)

Fahaman ini adalah aliran teologi pertama yang muncul dalam dunia Islam. Aliran ini mulai timbul pada abad ke-1 H ( abad ke-8 M ) pada masa pemerintahan Ali bin Abi Talib r.a, khalifah terakhir daripada Khulafa ar-Rasyidin. Kemunculannya dilatarbelakangi oleh adanya pertikaian politik antara Saidina Ali r.a dan Muawiyyah r.a yang pada waktu itu menjawat jawatan gabenor Syam (sekarang Syria ). ( Ensiklopedia Islam, jilid 3, DBP 2004: 46 ).

Kelahiran golongan ini bermula setelah pembunuhan Khalifah Ustman r.a. Ramai di kalangan pengikut Ali r.a ingin membaiah beliau menjadi khalifah. Setelah baiah itu hampir selesai, tiga daripada sahabat Nabi yang terkemuka membantah usaha tersebut. Para sahabat itu ialah Muawiyyah Ibn Abi Sufiyan, Talha Ibn Abdullah dan Zubir Ibn Al-Awam. Saidina Ali r.a dan Muawiyyah r.a masing-masing mempunyai pengikutnya sendiri. Maka berlakulah peperangan yang sengit antara kedua belah pihak yang membawa kemenangan kepada pihak Saidina Ali r.a dan pengikutnya.

Akhirnya terjadilah perang siffin yang menyebabkan tentera Muawiyyah hampir-hampir akan kalah lalu mencari helah untuk memberhentikan perang. Amru Ibn al- as mencadangkan supaya dijulang kitab suci al-Quran di atas tombak. Lalu Muawiyyah mengarahkan askar-askarnya supaya menjulang al-Quran di atas tombak seraya mengajak Khalifah Ali menghentikan perang dan menyelesaikan tahkim antara dua pihak.

Khalifah Ali pada mulanya telah menolak permintaan ini kerana beliau mengetahui perkara tahkim ini hanyalah suatu helah tetapi disebabkan atas desakan sebilangan besar pengikut-pengikutnya maka Saidina Ali mempersetujui majis tahkim tersebut dengan harapan untuk mengembalikan perpaduan sesama Islam.

Keputusan saidina Ali r.a menerima majlis tahkim tersebut menyebabkan perpecahan di kalangan sebahagian pengikut barisan Ali r.a lalu memberontak melawannya. Mereka juga selalu menyuarakan slogan “ Tiada sesiapa pun yang boleh menghukum kecuali Allah dan kami tidak menerima penghakiman seseorang dalam kitab Allah. ( Ibid m/s 289 ).

Mereka telah memilih Haraura iatu sebuah kampung yang terletak di luar Kota Kufah sebagai pusat pergerakan mereka menentang Ali r.a yang diketuai oleh Abdullah Ibn Wahb al-rasibi. Puak inilah yang terkenal dengan nama Khawarij ertinya kaum penderhaka.

Motif sebenar mereka adalah untuk mengelak daripada diburu dan dibunuh balas oleh Muawiyyah yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan khalifah Ustman bin Affan. Ini kerana golongan khawarij ini terlibat dengan pembunuhan Saidina Ustman dan cuba untuk mengelakkan diri dengan bersembunyi sebagai pengikut Saidina Ali bin Abi Talib r.a.

Pembunuh Saidina Ali tidak dapat ditentukan secara tepat kerana jumlah yang mengaku sebagai pembunuh Saidina Ustman adalah terlalu ramai. Perkara ini telah menyebabkan Saidina Ali r.a menangguhkan usaha untuk penghakiman pembunuhan Saidina Ustman sehingga menyebabkan ketidakpuasan hati Muawiyyah dan sebilangan sahabat yang lain.

Apabila puak khawarij ini keluar daripada barisan Ali r.a mereka pun melakukan berbagai-bagai keganasan terhadap Khalifah Ali. Tetapi di atas kebijaksanaan Ali r.a telah Berjaya mengembalikan sebilangan besar daripada mereka kembali kepada jalan yang benar. Akhirnya mereka telah merancang membunuh Ali r.a. Pada suatu pagi sewaktu Khalifah Ali r.a keluar untuk menunaikan sembahyang subuh di Masjid Kufah, tiba-tiba Abdurahman Ibn Muljam menikam beliau sehingga membawa kepada kematiannya. ( Siti Sa’adiah Binti Shafik, 1999).

Fahaman ini pada mulanya berpusat di daerah yang terletak di selatan Iraq. Fahaman ini berbeza daripada fahaman Sunni dan syiah. Mereka juga lebih menitikberatkan mengenai soal perlantikan imamah. Pada asalnya, mereka menentang dalam urusan pemerintahan sahaja. Namun, tindakan mereka melarat kepada persoalan-persoalan akidah yang menyeleweng daripada landasan al-Quran dan sunnah.

Ø Setelah kerajaan Umaiyyah ditubuhkan, puak khawarij masih lagi bermaharajalela dalam melakukan penentangan, tetapi segala usaha mereka telah berjaya dipatahkan sehingga munculnya kerajaan Abbasiyyah. Disebabkan itu, peranan puak mereka semakin lemah dan perpecahan semakin merebak lalu terbentuk aliran-aliran yang mencapai bilangan dua puluh semuanya. Setiap aliran ini tidak mempunyai prinsip yang sama tetapi mereka masih lagi berpegang kepada dua prinsip utama iatu mengkafirkan Ali r.a, Uthman r.a dan orang yang terlibat dalam majlis tahkim serta orang yang terlibat dalam peperangan jamal. Persamaan prinsip yang kedua adalah wajib derhaka kepada pemerintah yang tidak adil. Terdapat juga satu lagi prinsip yang banyak diamalkan oleh kumpulan-kumpulan pecahan khawarij ini iatu mengkafirkan mereka yang melakukan dosa-dosa besar.

Ø Dalam pemerintahan, mereka mengaku Abu Bakar dan Umar sebagai khalifah yang sah. Uthman pula pada awalnya sah tetapi mereka mendakwa Uthman berubah pada akhir pemerintahannya. Apabila Uthman berubah, jawatan khalifahnya juga tidak sah, manakala Ali pula diterima sehingga sebelum peperangan Siffin kemudian beliau didakwa melakukan kesalahan semasa Tahkim sehingga kesalahan itu dianggap keluar daripada Islam.

Ø Mereka mengecam orang-orang yang terlibat dalam peperangan Jamal. Mereka adalah Thalhah, Zubair, dan Aisyah. Mereka turut mengkafirkan Abu Musa al- Asy’ari dan Amru bin al- Ash. Mereka mendakwa Muawiyyah merampas jawatan khalifah secara kekerasan maka beliau adalah kafir yang wajib diperangi.

Ø Jawatan khalifah mesti dipilih secara bebas di kalangan rakyat samada ia Ahli al- Bait seperti pengangan Syiah atau Quraisy seperti pengangan Ahli Sunnah. Apabila khalifah itu zalim,maka beliau wajib dipecat atau diperangi.

Ø Menurut sebahagian mereka menyatakan bahawa tidak perlu kepada Imam, apabila dirasakan mustahak hukum melantiknya adalah harus.

Ø Terlalu mudah untuk mendakwa kafir kepada orang yang melakukan dosa. Bukan sahaja yang melakukan dosa besar,malah ada yang berpendapat dosa kecil juga dihukum terkeluar daripada Islam.

Ø Berpegang pada zahir ayat- ayat Quran dan hadith secara mudah tanpa mengkaji secara mendalam menurut kaedah-kaedah asal yang memberi makna yang lebih tepat dan kena bagi tujuan teks.

Ø Kanak-kanak orang kafir hukumnya kafir sehingga dia baligh dan beriman.

Ø Berpegang dengan ajaran Muktazilah dalam perkara qadar.


a

Setelah kerajaan Umaiyyah ditubuhkan, puak khawarij masih lagi bermaharajalela dalam melakukan penentangan, tetapi segala usaha mereka telah berjaya dipatahkan sehingga munculnya kerajaan Abbasiyyah. Disebabkan itu, peranan puak mereka semakin lemah dan perpecahan semakin merebak lalu terbentuk aliran-aliran yang mencapai bilangan dua puluh semuanya. Antaranya ialah:

1) Al- Ibadhiah

2) Al- Yazidiah

3) Al-Azraqiah

4) Al- Najadat

5) Al- Hafiziah

6) Al- Harisah

7) Al- Safariah

8) Al- Ajaridah

9) Al- Maimuniah

10) Al- Hamaziah

Al- Ibadhiah

Kumpulan ini adalah pengikut Abdullah bin Ibadh at-Tamimi. Fahaman ini mempunyai pengikut yang paling ramai dan masih kekal sehingga ke hari ini seperti di negara Masqat, Oman, dan beberapa daerah di Utara Afrika. Mereka dianggap kumpulan Khawarij yang paling sederhana dan tidak keras seperti kumpulan- kumpulan yang lain. Antara ajarannya ialah:

Ø Orang- orang kafir di kalangan umat ini tidak syirik dan beriman. Mereka bukan mukmin dan bukan kafir. Mereka boleh diterima menjadi saksi dan harus berkahwin dengan mereka. Darah- darah mereka haram tetapi halal pada zahirnya.

Ø Mereka bertelingkah dalam perkara munafik. Ada yang berkata munafik itu terkeluar daripada syirik dan iman tetapi ada juga yang menyatakan munafik itu adalah dosa besar dan bukannya syirik.

Ø Mereka mempunyai perbezaan pendapat dengan ahli Sunnah dalam beberapa hukum fikah. Antaranya, mereka menambah hukum dalam hukuman hudud iatu pesalah diminta bertaubat. Sekiranya tidak bertaubat,mereka dibunuh. Contoh hukuman yang dikenankan kepada pencuri. ( Fahaman & Ideologi umat islam, 65 )

Al – Yazidiah

Pengikut Yazid bin Abi Ubaih al- Kharaji. Dia berasal dari Basrah dan mangikut fahaman Khawari Ibadhiah. Kemudian berpindah keJor yang terletak di Parsi lalu membawa ajaran- ajaran radikal. Antaranya ialah:

1) Di kalangan umat ini ada dua saksi. Salah seorang daripadanya dia sendiri dan seorang lagi tidak diketahui.

2) Agama islam yang sedia ada akan dimansuhkan dengan kelahiran nabi daripada bangsa ‘Ajam yang menganut agama Shobiah. Dia membawa kitab suci selain daripada Al- Quran. Oleh itu, dia mendakwa bahawa Nabi Muhammad untuk bangsa arab dan nabi yang baru untuk bangsa ‘Ajam.

3) Orang- orang yang dikenakan hukuman hudud terkeluar daripada islam dan tiap- tiap dosa besar dan dosa kecil adalah syirik.

Fahaman khawarij ini bukanlah suatu fahaman yang masyarakat Islam boleh mengambil mudah tentang permasalahan ini, ini kerana mazhab khawarij ini pada mulanya hanya berkisar mengenai permasalahan dalam pemerintahan, jawatan imamah atau khalifah, tetapi lama kelamaan puak ini melarat sehingga kepada persoalan akidah yang menyeleweng daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Juga terdapat diantara pegangan mereka yang mengikut fahaman muktazilah dalam perkara qadar.

Mazhab-mazhab akidah yang menyeleweng seperti muktazilah, syiah, murjiah, jabariah,qadariah,ahmadiah dan sebagainya telah memberi banyak kesan dan perpecahan kepada umat Islam. Di atas perpecahan-perpecahan yang berlaku menjadikan umat Islam tidak boleh untuk menggabungkan diri mereka dalam kesatuan ummah lantas menyelesaikan masalah-masalah yang melanda umat. Perpecahan ini juga telah menyebabkan ideologi-ideologi yang bukan islam berjaya mempengaruhi orang Islam itu sendiri seperti liberalism, sekularisme, nasionalisme, asabiyah, dan sebagainya.

Seperti juga fahaman khawarij telah menyebabkan pecah-belah dan huru-hara dalam kalangan umat Islam sendiri semenjak kematian Saidina Uthman r.a Saidina Ali r.a hinggalah zaman khalifah-khalifah lain seterusnya dan umat masa kini. Fahaman Khawarij ini telah menular sehingga sekarang namun perkembangannya tidak seperti fahaman Syiah yang berleluasa dan menguasai ekonomi sesebuah negara. Antara negara yang masih berfahaman ini adalah di Algeria,Oman, dan lain-lain. Tetapi majoriti di negara ini berfahaman khawarij Al-ibadhiah.

Puak khawarij ini juga telah menyebabkan beberapa siri pembunuhan khulafa’ ar-Rasyidin. Antaranya Saidina Othman, Ali dan juga merancang pembunuhan sahabat-sahabat Nabi yang lain berpunca daripada sikap mereka yang tidak berpuas hati terhadap pemerintahan khulafa’ dan ingin menguasai negara mengikut cara mereka sendiri.

Di atas pembunuhan Khalifah ini telah menimbulkan sedikit perpecahan dalam kalangan umat Islam itu sendiri. Kemunculan mazhab Syiah juga berpunca daripada sikap puak Khawarij yang memusuhi Saidina Ali r.a. Puak Syiah ini juga adalah puak pelampau yang terpesong daripada akidah Islam. Sehingga kini masih terdapat aliran pemikiran khawarij dan syiah ini yang berbahaya kepada umat islam.

Jika dikaji dan diteliti rentetan peristiwa majlis tahkim ini berpunca daripada sikap puak khawarij ini yang tidak mahu bertanggungjawab terhadap pembunuhan Saidina Uthman r.a. Puak inilah yang menyebabkan ketidakpuasan hati Muawiyah terhadap Saidina Ali r.a berpunca daripada mereka yang telah mengapi-apikan Muawiyah untuk menentang Saidina Ali.

Semuanya kerana sikap khawarij yang ingin melepaskan diri daripada hukuman kerana membunuh Saidina Uthman. Dapat dilihat di sini, bahawa khawarij ini adalah punca kepada perpecahan umat Islam sehingga timbulnnya peperangan jamal dan syiffin sehingga membawa kepada majlis tahkim.

Diantara sifat-sifat atau pegangan khawarij ini antaranya terlalu mudah mengkafirkan sahabat-sahabat Nabi saw. Antaranya Saidina Ali r.a, Othman r.a, Muawiyah Abu Sufyan, Abu Musa Al-Asya’ri dan sebagainya. Kesan daripada mengkafirkan sahabat-sahabat ini telah menyebabkan ramai dikalangan umat Islam yang kurang mengerti atau jahil mengenai sejarah khulafa ar-Rasyidin dan sejarah firqah islam tersalah faham mengenai kedudukan sahabat-sahabat Nabi saw.

Mereka beranggapan bahawa sahabat-sahabat Nabi adalah dikalangan orang yang suka bergaduh,bertelingkah sesama sendiri. Sedangkan kemuliaan para sahabat ini mestilah diakui oleh semua umat Islam. Perpecahan yang berlaku serta peperangan bukanlah berkisar mengenai akidah tetapi lebih kepada urusan pemerintahan.

Tetapi puak khawarij ini telah berjaya memesongkan pemikiran umat Islam sehingga ada yang menyangka bahawa sahabat Nabi saw terutamanya Muawiyah adalah pencetus kepada perpecahan dan pembunuhan Saidina Ali r.a. Sedangkan segala pembunuhan, rancangan masuk ke dalam barisan Ali r.a itu hanyalah helah untuk mengubah pemikiran umat bahawa Muawiyah yang bersalah dan kecuaian Saidina Ali r.a

Fahaman ini juga suka mengkafirkan orang lain yang tidak sependapat dengan mereka. Pegangan mereka ini telah memberi kesan kepada akidah umat Islam yang terikut-ikut turut mengkafirkan orang lain yang tidak mempunyai pendapat yang sama dengan mereka. Tidak semestinya seseorang itu mengaku bahawa dirinya adalah daripada pengikut khawarij maka dia dikira daripada kalangan orang khawarij tetapi jika seseorang yang mempunyai pegangan seperti khawarij maka demikian boleh dikira sebagai termasuk dalam akidah golongan ini yang dikenali dengan pemikiran khawarij moden.

Seperti apa yang berlaku pada situasi politik negara Malaysia yang terdapat ahli politik yang mengkafirkan antara satu sama lain. Kesan daripada sikap kafir mengkafir ini telah mencetus perbalahan antara pemimpin dan ahli-ahli dalam politik yang masing-masing membicarakan hal ini. Masing-masing saling membenci antara satu pihak dengan pihak yang lain.

Ini kerana perkataan kafir ini adalah satu perkataan yang amat berbahaya, yang mana umat Islam harus berhati-hati sebelum mengucapkannya walaupun dia berhak untuk mengucapkannya kepada orang lain memandangkan bahaya perkataan yang dibawa itu kepada orang yang berkata dan dikata di dunia dan di akhirat. Sehubungan itu, kita wajib merujuk kepada nas-nas daripada al-Quran dan Sunnah bagi menetapkan suatu kaedah atau fakta-fakta syari’e yang wajib dipegang dalam membahaskan isu berbahaya berkaitan agama Allah dalam kehidupan manusia seperti kes pengkafiran ini.

Seperti yang diketahui, puak khawarij ini adalah satu puak yang suka mentafsirkan ayat Al-Quran secara zahir sahaja. Seperti firman Allah yang diucapkan mereka kepada Saidina Ali r.a yang bermaksud. Tiada penghukum kecuali Allah. Mereka membawa ayat ini untuk ditujukan kepada Saidina Ali kerana tidak berpuas hati dengan keputusan beliau dalam majlis tahkim.

Keadaan ini menyebabkan mereka mengambil hanya sesetengah nas dan meninggalkan sesetengah yang lain ataupun mengambil nas yang meragukan dan melupakan nas yang tetap. Mereka juga tidak mengambil serta memahami keseluruhan nas. Di atas dasar inilah, ramai umat Islam sekarang yang bertindak menghukum seseorang berpandukan ayat Al-Quran secara zahir dan mentafsirkannya secara sesuka hati.

Timbulnya isu kufur mengkufur ini juga di atas kelalaian umat Islam memahami tafsiran nas-nas dan menterjemah serta mentafsir dan membuat hukum sesuka hati. Akhirnya, akan membawa kepada umat Islam yang mudah mengeluarkan fatwa sendiri sehingga menimbulkan perpecahan kepada umat Islam yang merasakan bahawa sesuatu keputusan itu tidak sesuai dengan nas syarak menyebabkan ramai umat Islam terpesong dan menyangka bahawa agama lain adalah lebih elok. Ini semua kerana sikap umat Islam sendiri yang terlalu mudah menzahirkan ayat Al-Quran mengikut fahaman mereka sendiri.

Selain itu, antara kesan lain yang membawa kepada perpecahan umat adalah muncul banyak pertubuhan-pertubuhan baru yang ingin menggulingkan kerajaan islam yang baik. Tujuan utama pertubuhan ini mahu menggantikan sistem yang terdapat di sesebuah negara dengan sistem khilafah. Bukan bermakna, matlamat yang diperjuangkan salah tapi cara-cara atau jalan untuk mencapai kepada matlamat itu yang boleh membawa kepada perpecahan umat.

Khawarij juga mengajar pada pengikutnya agar memberontak terhadap pemerintah yang zalim atau berbuat maksiat. Apa yang diajar oleh khawarij adalah helah semata-mata, sebenarnya tujuan mereka hanyalah untuk menguasai tampuk pemerintahan negara berdasarkan apa yang mereka yakini dan bukannya lebih menumpukan perhatian kepada menjaga kebajikan dan kemaslahatan umat Islam.

Mereka juga akan cuba menyebarkan fahaman-fahaman politik mereka agar tersebar dengan luas melalui pelbagai cara. Apa yang dikhuatirkan kekerasan akan dilakukan oleh puak-puak ini untuk mencapai matlamat mereka. Antara pertubuhan yang seakan-akan mengamalkan ajaran khawarij adalah pertubuhan hizbut tahrir.

Pertubuhan ini adalah pertubuhan yang ingin menegakkan sistem khalifah di dalam pemerintahan sesebuah negara dan sekaligus menguasai pentadbiran negara. Fahaman yang mempunyai ‘ala-ala’ khawarij ini telah tersebar hampir ke serata dunia termasuk Malaysia. Pertubuhan ini ditubuhkan pada tahun 1953 di Al-Quds ( Baitul Maqdis ) , Palestin. Kumpulan ini dipelopori oleh Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani, seorang ulama alumni Al-Azhar Mesir, dan pernah menjadi hakim di Mahkamah Syariah di Palestin.

Hizbut Tahrir masuk ke Indonesia pada dekad tahun 1980 an dengan merintis dakwah di kampus-kampus besar di seluruh Indonesia. Pada era 1990 an idea-idea dakwah Hizbut tahrir telah masuk ke Malaysia pada hujung tahun 1990 an ( awal millennium ). Antara perkara yang mereka perjuangkan ialah penyatuan umat dan daulah khilafiah. Coretan mereka mengatakan bahawa penyatuan di seluruh dunia menggambarkan betapa serius kemahuan umat untuk menukar sistem kufur yang ada, yang telah meroskkan kehidupan manusia. Seruan demi seruan dilakukan supaya usaha mereka sentiasa kedengaran.

Selain itu, mereka juga turut memperjuangkan mengenai daulah khilafah sebagai kepimpinan umat bagi seluruh kaum muslimin di dunia untuk menegakkan hukum-hukum syariat Islam dan mengembang risalah Islam ke seluruh penjuru dunia. Daripada dua perkara yang diperjuangkan oleh mereka jelas bahawa Daulah Khilafah adalah hanya satu untuk seluruh dunia kerana nas-nas syara’ memang menunjukkan kewajipan umat Islam untuk bersatu dalam satu institusi negara. Sebaliknya haram ini bagi mereka hidup dalam lebih dari satu negara.

Jika dilihat daripada perjuangan mereka adalah bersesuaian dengan ajaran Islam. Namun, tujuan atau matlamat yang baik mestilah disertakan dengan cara yang baik. Tujuan perjuangan Hizbut tahrir ini adalah baiah namun cara yang digunakan boleh membawa kepada perpercahan umat.

Ini kerana pertubuhan ini sangat mudah memburuk-burukkan pertubuhan Islam yang lain yang tidak sependapat dengan mereka. Cara yang mereka gunakan hampir sama dengan khawarij yang pada mulanya tidak menyenangi pemerintahan Saidina Uthman kerana ingin mewujudkan pemerintahan sendiri dan mengubah sistem pentadbiran yang ada.

Warkah Untuk Sahabat

PESANAN SEORANG SAHABAT

بسم الله الرحمن الرحيم

وذكر فإن الذكرى تنفع المؤمنين

Maksudnya : Dan peringatkanlah, maka sesungguhnya memberi peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang mukmin.

Wahai sahabatku!

Inilah pesanan dan nasihat dari diriku yang fakir disisi Allah s.w.t tentang adab-adab kamu didalam menuntut ilmu dijalan Allah s.w.t.

Wahai sahabatku!

Aku tidak ingin untuk menerangkan kepadamu tentang bagaimana cara untuk menuntut ilmu kerana dirimu lebih mengetahui bagaimana tentang caranya dari diriku yang selalu leka dengan nikmat dan perhiasan dunia, tetapi disini aku cuma ingin mengingatkanmu tentang beberapa perkara yang membahayakan dirimu didalam menuntut ilmu. Ketahuilah wahai sahabatku! Sesungguhnya ketika dirimu dalam menuntut ilmu, maka setiap dari kamu akan menghadapi pelbagai penyakit yang membahayakan sama ada penyakit ini menyerang kamu dalam kamu sedari atau dalam tidak kamu sedari dan hanya mereka yang diberi pertolongan oleh Allah s.w.t yang akan terselamat.

Wahai sahabat yang ku kasihi!

Disini pertamanya aku ingin mengingatkanmu tentang satu benda yang penting didalam kamu menuntut ilmu. Perkara ini merupakan asas yang terpenting dalam menuntut ilmu. Ia merupakan benih dan tunjang kepada pohon yang bakal kamu tanam itu. Jika baik benihnya itu maka baiklah pohon yang akan bercambah itu dan jika rosak benih yang kamu tanam itu maka akan rosaklah pohon yang kamu tanam itu. Jika elok tunjangnya maka kukuhlah pohon yang tumbuh itu dan jika reput tunjang pohon itu maka sebaliknyalah yang akan berlaku. Perkara ini merupakan asas kepada asas-asas yang lain didalam kamu belajar iaitu niat. Sesungguhnya Nabi Muhammad telah bersabda didalam sebuah hadis yang berbunyi :

إنما الأعمال بالنية[1]

Maksudnya : Setiap amalan disertai dengan niat.

Didalam kita melakukan semua pekerjaan sama ada pekerjaan dunia mahu pun pekerjaan akhirat akan melibatkan niat kita pada permulaannya. Ketahuilah dengan niat itu akan memberi kesan kepada setiap pekerjaan yang akan kita lakukan itu sama ada baik atau pun jahat, bersih atau pun kotor, dan ma’ruf atau pun mungkar.

Ketahuilah sahabatku!

Apabila kamu menuntut ilmu maka hendaklah kamu meniatkan dirimu supaya menuntut ilmu itu kerana mencari keredhaan Allah s.w.t dan bukannya kerana untuk mencari dan menikmati kehidupan dunia. Sesungguhnya dengan niat kamu itu akan memberi kesan kepada pekerjaan kamu itu kerana telah ramai orang yang terdahulu mengalami kerugian disebabkan salahnya niat mereka. Allah s.w.t telah berfirman didalam Al Quran yang Mulia :

قل هل ننبئكم بالأخسرين أعملا الذين ضل سعيهم في الحيوة الدنيا وهم يحسبون أنهم يحسنون صنعا[2]

Maksudnya : katakanlah (Hai Muhammad) mahukah kamu aku khabarkan dengan orang yang sebenarnya mendapat kerugian didalam usaha mereka. Iaitu orang-orang yang telah mensia-siakan perbuatan mereka dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah berbuat baik.

Dan Rasulullah s.a.w juga telah mengingatkan kita tentang bahayanya jika kita tersalah ketika berniat dengan sabda baginda :

كم من عمل يتصور بأعمال الدنيا ويصير بحسن النية من أعمال الأخرة وكم من عمل يتصور بصورة أعمال الأخرة ثم يصير من أعمال الدنيا بسوء النية[3]

Maksudnya : berapa banyak amalan yang berupa keduniaan menjadi amalan akhirat dengan sebab baik niatnya dan berapa banyak amalan yang berupa akhirat menjadi amalan keduniaan dengan sebab buruk niatnya.

Maka telahku sebutkan kepadamu tentang bahayanya sesuatu amalan jika tersalah niat yang diniatkan. Oleh itu, maka suka ingin kuperingatkan diriku dan dirimu supaya menuntut ilmu dengan meniatkannya untuk mencari keredhaan Allah s.w.t bukannya untuk mencari nikmat dan kepuasan dunia. Wallahu’alam.

Wahai sahabat yang ku cintai!

Pesanan dan nasihatku yang kedua ialah merupakan peringatan kepada diriku dan dirimu yang hina serta lalai dihadapan Allah s.w.t. Nasihat dan pesanan ini merupakan satu peringatan yang penting didalam perjalanan kita menuntut ilmu kerana Allah s.w.t.

Wahai sahabatku!

Disini diriku yang fakir lagi dhaif disisi Allah ingin memperingatkan dirinya dan dirimu supaya taatlah kepada Allah s.w.t. dan janganlah kita menderhakainya kerana kita adalah hambanya. Ketahuilah sahabatku! Aku memperingati dirimu supaya jangan menderhakai Allah bukan kerana dirimu telah menderhakai Allah tetapi aku bimbang kita akan menderhakainya tanpa kita sedari. Sesungguhnya orang yang menuntut ilmu itu merupakan golongan yang taat kepada Allah tetapi mungkin juga kita akan derhaka dalam taat kepada Allah. Maka sebab itulah aku memperingati dengan peringatan sebegini supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang derhaka dalam taat.

Wahai sahabatku yang kukasihi!

Ingatlah kamu ketika melakukan semua amalan kebaikan, hendaklah kamu berhati-hati didalam pekerjaan itu seperti kamu berhati-hati ketika melalui jalan yang penuh dengan duri. Ingatlah! Jangan kamu campurkan amalan kamu itu dengan maksiat walaupun pada permulaan amalan itu berupa kebaikan, tetapi jika kamu campurkannya dengan maksiat maka amalan itu akan menjadi rosak serta tertolak dihadapan Allah sw.t. Sesungguhnya Allah s.w.t telah memperingatkan kita tentang hal tersebut dengan firmannya :

ولا تلبسوا الحق بالباطل وتكتموا الحق وأنتم تعلمون[4]

Maksudnya : Dan jangan kamu campurkan adukkan antara kebenaran dengan kebatilan(maksiat) dan jangan kamu sembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahui.

Jadi telah kita ketahui bahawa Allah s.w.t. telah melarang kita mencampurkan kebaikan dengan kebatilan yakni maksiat kerana ia akan memberi kesan kepada diri kita didalam menuntut ilmu. Pernah satu ketika Imam Syafie bertanya kepada gurunya[5] tentang kepayahannya dalam menuntut ilmu, maka gurunya telah menyuruhnya meninggalkan perbuatan maksiat dan telah berkata :

إن العلم نور ونور الله لا يهدى للعاصي

Maksudnya : sesungguhnya ilmu itu cahaya dan cahaya Allah s.w.t. tidak akan menerangi perkara maksiat.

Kemudian ingin aku memperingati dirimu tentang niatmu didalam menuntut ilmu adalah belajar kerana Allah s.w.t.. Maka teruskanlah pekerjaanmu itu dengan sebenar-benarnya dan janganlah kamu lakukan pekerjaan lain yang tidak perlu bagi kehidupan dirimu ketika belajar. Janganlah dirimu melakukan pekerjaan yang bukan urusanmu ketika belajar kerana Rasulullah s.a.w pernah bersabda :

من حسن الأسلام المرء تركه ما لا يعنيه[6]

Maksudnya : Daripada sebaik-baik seorang muslim meninggalkan pekerjaan yang bukan pekerjaannya.

Maka disini juga telah aku sebutkan apa yang perlu dilakukan oleh dirimu disepanjang perjalananmu menuntut ilmu kerana Allah s.w.t.. Oleh itu janganlah kamu membahayakan dirimu dengan melakukan pekerjaan maksiat yang bukan juga urusanmu ketika belajar dijalan Allah s.w.t., tetapi jika kamu melakukan juga maka bersedialah dengan apa yang kamu telah lakukan itu! Setiap amalan kebaikan yang bercampur dengan maksiat akan menyebabkan amalan itu tiada keberkatan. Wallahu’alam.

Wahai sahabatku!

Pesanan dan nasihatku yang terakhir ini ingin aku peringatkannya kepada diriku dan dirimu serta kepada semua umat Islam yang lain yang juga merupakan hamba kepada Allah s.w.t. Yang Maha Agung. Ia juga merupakan satu perkara yang kita selalu lupa lakukannya didalam setiap pekerjaan kita selaku hamba yang lemah lagi dhaif dihadapanNya Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.

Wahai sahabatku yang dirahmati Allah!

Adalah diriku yang lemah dan dhaif dihadapan Allah s.w.t. ini ingin berpesan kepada dirinya dan kepada semua sahabat dan saudara yang dikasihinya supaya bertawakal lah kepada Allah s.w.t.. Tawakal lah kamu pada setiap pekerjaan yang dilakukan oleh kamu semua didalam dunia ini. Sesungguhnya didunia ini kepada Allah s.w.t. sahajalah yang patut kita bertawakal diatas semua pekerjaan. Allah s.w.t. telah berfirman dengan FirmanNya :

وتوكل على الحي الذي لا يموت[7]

Maksudnya : Dan bertawakallah kamu kepada Allah Yang Hidup (kekal) yang tidak mati.

Telah kita ketahui bahawa setiap sesuatu itu berlaku diatas kekuasaan Allah s.w.t. jadi setiap pekerjaan itu didalam pengetahuan ilmuNya sama ada yang telah berlaku atau pun yang akan berlaku. Maka kita sebagai seorang hamba menjadi satu kewajipan untuk menyerahkan urusan kita kepada Allah s.w.t. kerana kita telah meyakini tentang kekuasaanNya. Sahabatku ! sesungguhnya apabila kita menuntut ilmu kerana Allah s.w.t. maka kepadaNya jugalah kita patut menyerahkan urusan kita dan bukannya menyerahkan urusan kita kepada usaha yang kita lakukan. Allah s.w.t. juga telah berfirman :

وعلى الله فتوكلوآ إن كنتم مؤمنين[8]

Maksudnya : Dan hanya kepada Allah hendaklah kamu bertawakal jika kamu benar-benar orang beriman.

Oleh itu, marilah kita menyerahkan segala urusan kita kepada Allah s.w.t. sahaja. Ya Allah! Sesungguhnya kami ini telah menzalimiMu dengan menyerahkan urusan kami kepada usaha kami sahaja. Ya Tuhan Maha Pengasih! Janganlah engkau meletakan kemurkaanMu diatas kesalahan yang kami lakukan terhadapMu. Ampunilah diri kami Ya Allah! Sesungguhnya Engkaulah tempat kami berserah dan kepada Engkau jua kami memohon keampunan. Amiin.

Wahai sahabatku!

Sesungguhnya inilah sahaja pesanan dan nasihat yang mampu aku sampaikan kepadamu. Walaupun mungkin masih terdapat banyak perkara yang tidak aku sebut didalam kamu menuntut ilmu ini, tetapi jika dirimu memahami dan beramal dengan apa yang ku perkatakan ini maka ia telah cukup bagi dirimu yang menuntut ilmu kerana mencari keredhaan Allah s.w.t.. Aku memohon maghfirah daripada Allah s.w.t. jika apa yang aku perkatakan ini telah menyalahi HaqNya dan aku bertahmid kepadaNya diatas segala kebaikan yang aku perkatakan ini kerana semuanya datang daripada Allah s.w.t. yang hanya menyandarkannya kepada diri hambaNya yang lemah lagi dhaif ini.

Ya Allah Ya Tuhanku! Kuatkanlah kami ketika kami lemah, tetapkanlah hati dan diri kami ketika kami goyah, tabahkanlah kami dengan ujian yang kami redah dan himpunkanlah kami besama-sama kekasihMu, pejuang-pejuangMu, dan bersama-sama orang yang diredhai olehMu. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Agung, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Mematikan dan Maha Menghidupkan lagi Maha Menghimpunkan. Amiin Ya Rabbal ‘alamin.

والله أعلم



[1] Matan Arba’in: Imam nawawi.

[2] Surah al kahfi ayat : 103-104

[3] Kitab ta’lim Muta’alim ; syeikh zarnuji

[4] Surah al baqarah ayat : 42

[5] Guru Imam Syafie : Imam Malik

[6] Matan Arba’in : Imam Nawawi

[7] Surah Al Furqan : ayat 58

[8] Surah Al Maidah : ayat 23